Sneaker o.0

Saturday, January 17, 2015

B.A.C.A

Pernahkah anda melalui sehari dalam hidup dengan merasakan waktu yang berlalu terasa begitu panjang ?

***

‘Hishh . Kenapalah cikgu-cikgu kat sekolah susah sangat nak faham ?? Dekat sekolah menengah cikgu suruh baca buku , dekat rumah mak ayah pun suruh baca buku . Membaca itu tiada ertinya pada aku ! What’s the big deal anyway ?’

“Aaaarghhhhhhhh !”

Ben menjerit di tengah padang kosong itu . Kedengaran burung-burung terbang keluar dari pohonan dek ketakutan mendengar jeritan Ben tadi . Hari itu bukanlah hari cuti . Namun akibat dari stress yang tidak tertahan , Ben mengambil keputusan untuk melencong ke padang bola tidak jauh dari rumahnya .

Setelah puas menjerit Ben merasa haus . Lalu dia menapakkan kakinya ke kedai runcit di seberang jalan . Tibanya di kedai lantas dia memesan teh o ais bungkus . Ben tidak mahu berlama-lama di situ . Bakal mengundang syak wasangka !

Seusai membayar harga minuman, Ben pun berlalu mencari tempat duduk yang sesuai . Sejahat dirinya dia masih tidak mahu diumpamakan sebagai lembu . Teringatnya akan pesan ibu .

‘Minum tu duduk . Nak jadi kawan lembu ?’


Nasihat pendek itu berjaya menakutkan dirinya . Ahaha .

Ben segera duduk sambil membaca basmalah sebelum meneguk air yang kelihatan sungguh menyelerakan . Kelihatan disebelahnya merupakan seorang pakcik tua berkopiah sedang membaca surat khabar . ‘Heh . Dah tua-tua pun masih mahu membaca .’ Berhampiran pakcik itu terdapat sebuah beg lusuh yang agak berisi . Nampaknya pakcik ini sedang menunggu bas untuk ke bandar . Maklumlah , disitu sahaja perhentian bas yang ada di kampung ini .

Ben membetulkan letak duduknya sebelum berniat untuk menegur pakcik itu .

“Assalamualaikum pakcik .” Sambil tersenyum . Peramah juga Ben ini .

“Waalaikumussalam warahmatullah nak . Anak ini siapa ? Tak sekolah hari ni ?” Pakcik itu seraya mengangkat muka dari pembacaan lalu melipat suratkhabar tempatan itu bagi menghormati kehadiran Ben .

“Eheh . Saya Bunyamin . Orang panggil saya Ben , pakcik . Saya tak sekolah hari ini . Stress .” Sengihnya sambil menggaru kepala .

“Ohh . Kasihan . Muda-muda lagi sudah stress ya .” Mulut pakcik itu mula membentuk huruf o .

“Pakcik , boleh saya tanya ? Apa yang pakcik baca tu ? Bukankah pakcik dah tua ? Tua-tua macam pakcik ni tak payah membaca . Tambah pening kepala saja .” Hmm ..

“Sebetulnya , anak ini bertanyakan apa ertinya membaca bagi pakcik ? Begini , membaca itu adalah merantau . Merantau dari masa silam kepada masa hadapan . Bagi pakcik yang sudah tua ini , apabila membaca pakcik dapat mengenal dunia . Fantasi atau realiti . Kedua-dua dunia ini dapat kita mengharunginya tanpa perlu mengeluarkan wang yang banyak ataupun tenaga yang berlebihan . Hanya melalui buku . Tapi iyalah . Bergantung kepada jenis buku apa yang kau baca .”

“Pakcik suka baca jenis buku yang macam mana ?”

“Ohh . Pakcik suka karya Buya Hamka . Dan Ramlee Awang Murshid . Kedua-duanya penulis terkenal . Kalau anak nak pinjam buku mereka , boleh datang rumah pakcik . Pakcik ada rak yang besar hanya untuk karya mereka .”

Mata pakcik itu mula membesar dan tangannya terawang-awangan . Jelas riak mukanya yang teruja sambil bercerita .

“Wohhh . Nanti dulu pakcik . Slowly . Penulisnya pun saya tidak kenal , bagaimana mahu membaca ? Sudahlah pakcik jawab soalan saya dengan bermadah . Sepatah pun saya tak faham apa yang cuba pakcik sampaikan . Huh .”

Belum sempat pakcik berkopiah itu menjawab kembali pernyataan Ben tadi , kedengaran bunyi bas menghampiri perhentian bas . Pakcik itu segera menggalas begnya dan menuju ke arah bas itu . Terlepas nanti susah pula ! Ben dan pakcik itu saling berbalas ucapan salam dan lambaian . Pakcik itu lantas mencari tempat kosong untuk didudukinya .

Ben meneruskan langkahan kaki mengikut kehendak hatinya . Mungkin selepas ini dia akan berjumpa dengan seseorang yang dapat menerangkan kepadanya erti membaca . Ceh . Gayanya sudah seperti seorang perantau jauh saja . Ben kembali memikir . ‘Apa kaitan membaca dengan merantau ? Bagaimana dengan membaca kita boleh mengenal dunia ?’ Langkahan kakinya itu tiba-tiba berhenti tatkala dia melihat seorang kanak-kanak sedang duduk di atas kerusi di bawah pokok mangga . Budak itu kelihatan sedang memegang buku yang agaknya lebih besar dari dirinya . Ahaha . Ben tertawa kecil .

Bacaan budak kecil itu terganggu dengan gelakan dari Ben . Dia segera membetulkan letak cermin matanya sambil memberikan pandangan sinis terhadap Ben . Seumpama gaya Detective Conan yang baru sahaja menemui jalan penyelesaian . Ben agak terkejut namun segera merapati budak itu .

“Assalamualaikum dik . Adik ni nama apa ? Umur berapa ?”

“Waalaikumussalam warahmatullah . Nama diberi Muhammad Rashid bin Zulkarnain . Umur saya 6 tahun . Saya tinggal di rumah depan tu . Saya bercita-cita mahu menjadi peguam . Pembela bagi yang teraniaya .”

Wohh . Kelihatan mulut Ben sedang ternganga membentuk huruf O yang lebih besar daripada pakcik tadi . Matang sungguh budak ini . Sudahlah gaya serupa pegawai , bercita-cita pula menjadi peguam ? Ingin menjadi pembela kepada yang teraniaya pula tu ? Hebat .

“Boleh abang duduk ?”

“Oh . Silakan .”

Wah . Santun berbudi bahasa . Pap pap pap .

“Hmm adik tengah baca apa tu ?”

“Saya sedang membaca ensiklopedia mengenai manusia dan Al Quran . Saya baru saja meminjamnya di perpustakaan tadi .”

Gulp . Budak ni baca ensiklo..klo.. klo apa tadi ? Susah sangat nak sebutnya . Rasanya waktu aku kecil-kecil dulu bacanya komik naruto atau kucing robot itu . Haih .

“Okey adik . Abang selalu terfikir , kenapa manusia kena membaca ? Bagi adik , apa yang adik dapat bila membaca ?”

“Abang ni mesti tak suka membaca kann ?? Bagi budak hingusan seperti saya ni bang , seronok sangat jika dapat membaca . Bila saya baca buku , saya akan tahu apa yang saya tak pernah tahu sebelum ni . Semacam kita makin tak tahu walaupun banyak membaca , sebab terlalu banyak ilmu kat dunia yang kita kena terokai . Hmm sebab tu saya suka baca buku macam ni .” Rashid memandang sambil menunjukkan bukunya itu .

“Abang nak dengar satu falsafah tak pasal membaca ni ?”

“Hmm boleh juga .”

“The more you read , the more things you’ll know . The more that you’ll learn , the more places that you’ll go .”

“Siapa yang cakap tu ?”

“Dr. Seuss .”

“Siapa tu ?”

“Kartun .”

“Hmm bagus . Kartun pun boleh bagi falsafah hidup kan ?”

“Yelah . Sebab kartun tu buatan manusia . Jadinya falsafah itu dari manusia la . Tapi siapa yang bagi akal pada manusia ? Tentulah Tuhan . Jadi Tuhan la yang paling bagus sekali . Kan bang ?”

“Er .. er .. ya betul tu .” Ben kembali menggaru belakang badannya yang tiba-tiba saja terasa gatal .

“Okeylah bang . Hari dah nak petang . Saya masuk dulu . Lapar pulak tiba-tiba . Dari tengahari saya tak makan . Bila dah nampak buku memang macam nilah saya . Senang lupa makan .”

Rashid berlalu sambil menghulurkan salam . Senyum . Manis .

Ben hanya memandang anak kecil itu berlalu sambil menjawab salamnya . Budak itu layaknya seusia Ben . Kelihatan lebih dewasa . Matang dari usia .

Ben termenung . Bermacam jenis soalan yang hadir tanpa dia tahu siapa yang boleh merungkaikan simpulan persoalan di kepalanya itu . Kusut .

“Uhuk . Uhuk . Matilah aku macam ini . Sudahlah hutang banyak , kena tipu lagi . Aduhai nasib .”

Ben tersentap . Lamunannya terganggu mendengar keluhan dari seorang pemuda berkot lusuh yang duduknya tidak jauh dari pokok mangga Ben tadi .

Sikap prihatin Ben mula memancar . Tergerak hatinya untuk menegur pakcik itu . Dia bukanlah penyibuk tapi sekadar mahu meringankan beban pakcik itu saja . Ben lalu menapak ke arah tepi longkang dimana pakcik itu berada . Anehnya terdapat sebuah buku dan gulungan kertas di sisi pakcik itu . Ben mula menyapa .

“Assalamualaikum pakcik .”

Pakcik berkot itu mengangkat wajahnya sambil menjawab salam Ben .

Ben terkejut melihat wajah pakcik itu . Wajah yang sungguh dikenali . Bahkan terkenal di seluruh kampung ini !

Sambil menekup mulut dan menunjuk-nunjuk ke arah pakcik itu , Ben membuat reaksi terkejut yang pelik sekali .

“Pakcik ! Pakcik ni bukan ke .. Pakcik ni bukan ke tuan punya kilang kasut terbesar kat kampung ni ?! Pakcik buat apa kat tepi longkang ni ?”

Tak sangka keputusan Ben untuk ponteng sekolah pada hari ini tidak sia-sia . Sungguh beruntung dia hari ini .

Sambil mengesat air mata , pakcik itu mengangguk .

“Ya . Ini saya . Tuan punya kilang kasut terbesar di kampung ini .”

“Wahhh . Tuan Muiz . Tak sangka saya dapat jumpa tuan di tepi longkang ini . Salam sikit .”

Ben menghulurkan tangannya kepada Tuan Muiz tauke kasut itu . Senyum lebar . Tuan Muiz terpaksa melayan saja kerenah Ben . Malas mahu membantah .

“Tuan buat apa kat sini ?”

“…”

Diam . Suasana di tepi longkang itu sunyi . Nampaknya pemuda berkot itu keberatan mahu bercerita . Ben cuba untuk mengalih perhatiannya .

“Buku apa ni tuan ? Tuan pun suka membaca ya ? Saya pelik betul tengok orang yang suka membaca ni .”

“Oh tidaklah . Buku ini sahabat saya yang berikan tadi . Bacanya pun belum . Tapi saya harap dengan membacanya nanti dapat mengubah hidup saya selepas ini .”

“Kenapa dengan hidup tuan ? Bukankah tuan sudah kaya raya ?”

“Sebenarnya saya baru sahaja kena tipu oleh pengkhianat dalam syarikat saya . Semua wang telah digelapkan . Inilah akibat korupsi . Anehnya saya sebagai bos besar pun boleh tak perasan . Semua ini berlaku di bawah hidung saya sahaja !! Aduh .”

“Sabarlah , tuan . Segalanya ada hikmah .” Ben menasihati . Masalah besar juga ni . Aku pun tak dapat nak tolong . Ben terpandang muka depan buku tersebut . Rich Dad Poor Dad tulisan Robert Kiyosaki . Bestseller .

“Buku ni macam menarik je tuan .”

“Ya . Saya sendiri ada siri penulis ini di dalam rak buku saya di rumah .”

“Jadi tuan suka membaca ?”

“Tentulah .” Senyum .

“Ohh . Bagi tuan , membaca ini apa ?” Ben masih menghormati orang kaya ini dengan mengekalkan gelaran tuan itu .

“Soalan yang menarik . Bagi saya membaca ini ibarat menggali emas di dasar tanah .”

“Gali emas ? Kenapa ?” Apa pulalah kaitannya emas dengan buku ni ? Aduhh pening .

“Iya . Sebab kita tidak pasti sama ada di kawasan yang kita gali itu ada emas ke tidak di dalamnya . Yang ada hanya harapan dan keyakinan . Berharap dan yakin bahawa emas itu ada . Sekurang-kurangnya itulah yang sahabat saya beritahu semasa dia memberikan buku ini . Katanya lagi , jika tidak jumpa emas itu maka jangan putus asa . Usaha , usaha , usaha dan usaha lagi .”

“Ohh begitu .” Ben mengangguk . Tanda memahami .

Ben lantas memandang langit . Cuba meramal cuaca . Mendung . Tidak lama lagi mungkin akan hujan . Dia tidak memiliki payung . Ibu juga pasti akan memarahinya kerana pulang lewat . Hari mulai senja . Hujan di kala senja . Melankolik pula .

“Baiklah tuan . Semoga tuan berjaya lagi selepas ini . Saya mahu pulang dulu . Ibu pasti sedang menunggu . Assalamualaikum .”

Ben bingkas bangun lalu menyapu bahagian belakangnya . Habuk melekat . Ben berpaling ke belakang dan mula melangkah . Dia melambai ke arah pemuda berkot itu tadi . Usai bersalaman , pemuda itu menapak ke arah keretanya yang tersadai di tepi pokok manggis . Dia tersenyum melihat anak muda itu berlalu . Seribu hikmah tersirat pasti akan diketahui oleh anak muda itu kelak . Hujan mulai merintik .

“Assalamualaikum ibu . Amin sudah pulang .”

Tidak pula kelihatan kereta ayahnya di depan . Mungkin belum pulang . Ben dirumahnya dipanggil Amin oleh ibu bapanya . Anak manja . Kerana dia hanya satu-satunya kegemaran ibubapanya . Mana ada adik-beradik lain .

“Waalaikumussalam . Baru pulang Amin ? Basah kuyup pula tu . Mana kamu pergi ni Amin ?” Ibu muncul dari dapur sambil tangannya mencapai tuala di meja hadapan . Nampaknya ibu memang sudah menjangkakan Ben akan pulang pada waktu begini .

Heheh . Ben tersengih . Manakan tidak . Baru saja beberapa langkah meninggalkan Tuan Muiz tadi , tiba-tiba hujan turun lebat . Basah kuyup la jadinya . Maka Ben pun berlari-lari meredah hujan nan lebat itu tadi .

“Pergilah naik atas . Mandi .” Ibunya berkata sambil menghulurkan tuala kepada Ben . Sayangnya ibu pada anaknya itu .

“Ibu tahu Amin tak pergi sekolah tadi . Cikgu awak telefon ibu tadi .” Ibunya memberitahu sebelum segera ke dapur kembali .

Ben yang sedang mendaki tangga ke biliknya itu terhenti seketika . Jantungnya berhenti sesaat . ‘Aduhh . Macam mana ni ?’ Melihat ibunya sudah tiada , Ben segera menuju ke bilik air di atas . Kata ibu , mandi !

Seusai mandi , ibu memanggil Ben untuk turun solat Maghrib berjemaah . Begitulah rutin harian mereka sekeluarga saban hari . Namun, Ben masih kusut dengan persoalan mengenai membaca sejak pagi tadi . Dia berkira-kira untuk bertanya kepada ibu dan ayahnya . Maka , selesai solat Maghrib berjemaah Ben mengajak ibubapanya untuk berbincang .

“Ibu , ayah , Amin nak tanya sikit . Kenapalah kita kena baca buku ? Penting sangat ke ilmu kepada kita ?”

Ben menguis hujung kain pelikatnya sambil tertunduk . Takut jika dia akan dimarahi oleh ibubapanya dengan soalannya . Namun sangkaannya meleset . Ben mengangkat wajahnya lalu terlihatlah senyuman seindah kuntuman bunga terhias di wajah kedua orang tuanya .

“Anak ibu sudah besar sekarang ya ?”

“Betul tu sayang . Anak kita sudah pandai mengekspresikan perasaannya . Bertanya itu menandakan kedewasaan tahu ?”

Ayah Ben menepuk-nepuk bahunya sambil tersenyum-senyum . Dia berbangga kerana anaknya sedang berusaha mencari erti hidup  .


“Di dalam Kalamullah Yang Agung , Allah swt telah berfirman, Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan . Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah . Bacalah , dan Tuhanmulah Yang Maha Mulia . Yang mengajar manusia dengan pena . Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya . 
Surah Al ‘Alaq 1-5 .”

Subhanallah . Ben membisik .

“Wahyu pertama yang turun ke bumi disampaikan kepada Rasulullah melalui Malaikat Jibril . Allah memberitahu kita supaya membaca . Signifikannya adalah supaya kita memperoleh ilmu melalui pembacaan . Namun , bacalah dengan nama Tuhanmu . Yakni bacalah kerana Dia .”

“Amin nak jadi orang yang pandai atau orang yang tidak tahu ?” Ayahnya sekadar bertanya untuk menguji .

“Mestilah nak jadi orang yang pandai . Boleh dapat kerja besar . Boleh dapat rumah besar . Nanti dapatlah Amin tolong ibu dan ayah .”

Muka Ben lantas bersinar . Semangatnya membara untuk melihat keluarganya nanti senang dan lebih bahagia .

“Amin , kerja besar dan rumah besar itu bukanlah matlamat hidup kita . Yang penting adalah ilmu . Kerana ilmulah yang membezakan kita antara manusia . Ilmu jugalah yang akan menolong kita dekat dalam kubur nanti .


عن أبي هريرة رضى الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث: صدقة جارية أو علم ينتفع يه أو ولد صالح يدعو له


Maksud hadis :


Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu katanya,, Rasulullah SAW telah bersabda : Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.” (HR Muslim).”

“Jadi, Amin bacalah kerana Allah . Sungguh Amin tidak akan kecewa . Amin bacalah untuk ibu dan ayah supaya dapat tolong Amin , ibu dan ayah bila dah masuk dalam kubur nanti . Amin bacalah untuk keluarga Amin nanti supaya Amin dapat didik anak-anak Amin soleh seperti Amin bahkan lebih baik .”

“Betul kata ibu tu Amin . Amin bacalah juga untuk ummah kerana ummah ini memerlukan insan seperti Amin . Walaupun diri kita ini tampak kecil , peranan kita amatlah besar . Hatta seorang kanak-kanak kecil sekalipun .”

Ben kembali terkenang kepada budak kecil yang dijumpainya petang tadi . Bagaimana dengan membaca boleh menjadikan dirinya yang kecil itu kelihatan sungguh dewasa dan matang . Malah memberi inspirasi kepada Ben .

“Nasihat ibu dan ayah , sesekali jangan melupakan Allah . Kerana Allah tidak melupakanmu , anakku .” Mereka tersenyum .

“Terima kasih ibu dan ayah . Inilah jawapan yang Amin tercari-cari selama ini . Amin pasti akan kembali bersemangat untuk membaca buku selepas ini . Ayah , esok kita pergi ke kedai buku MPH ya ? Amin nak cari buku ensiklopedia manusia dan Al Quran . Amin nak kenal Al Quran lagi .”

“Alhamdulillah . Baiklah Amin .”

***

Terima kasih kerana sudi membaca cerpen ini hingga ke akhir . Sudikanlah memberi komen yang membina agar dapat diperbaiki lagi penulisan saya . Moga Allah redha ^-^

No comments:

Post a Comment

Arigatou ^^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...